Thursday, 29 March 2012

Bab 6 : Cerita Si Gadis Lembah Impian

"Arianna....Arianna..!!!" jerit Suhaidah memanggil sahabat karibnya dari seberang sungai. "Arianna..!!" Sekali lagi Siti Suhaidah menjerit memanggil nama Arianna. Namun sia-sia sahaja, kerana air sungai yang mengalir menghalang suara jeritannya dari pendengaran Arianna. Mahu tidak mahu, terpaksalah Suhaidah menyeberangi sungai itu. 

"Hish, kenapalah abang Leman tu tak buat jambatan, takpun titi je" omel Suhaidah sambil kakinya berhati-hati menyeberangi sungai itu. Takut sekali dia terjelapuk jatuh dek batu-batu yang licin. Keadaan itu membuatkan dia hendak berpatah balik saja, namun berita sensasi yang ingin dia kongsikan pada sahabat karibnya itu mematikan hasrat di hati. Digagahi juga kakinya mengharungi arus sungai yang mengalir agak deras sedikit petang itu, sehinggalah dia tiba di tepian sungai. Suhaidah menarik nafas lega.

Disarung selipar jepunnya itu, lalu berlari-lari menuju ke rumah Arianna. "Arianna..!! Arianna..!!" jerit Suhaidah sambil berlari-lari. Arianna yang sibuk memberi makan ayam ternakannya di belakang rumah segera ke laman depan untuk mencari-cari empunya suara yang memanggilnya. Dari jauh kelihatan Suhaidah melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Arianna membalas lambaian Suhaidah itu. 

"Ari..Arianna.." Tercungap-cungap Suhaidah tatkala dia tiba di laman rumah Arianna. Nafasnya satu-satu, seolah-olah sudah beribu kilometer dia berlari padahal jarak antara sungai dengan rumah Arianna hanya  beberapa puluh langkah sahaja.

"Assalamuailaikum cik Siti Suhaidah, semput nampak?" sapa Arianna sambil mengusik sahabatnya itu. Suhaidah belum mampu membalas masih penat barangkali. Hanya isyarat tangan saja yang membalas sapaan Arianna itu.

"Jemputlah naik dulu Idah, rehat-rehatkan diri dulu kat atas tu" pelawa Arianna sambil tersenyum melihat sahabat karibnya itu. Suhaidah sekadar menggangukkan kepalanya lalu mengekori langkah Arianna menaiki tangga kayu rumahnya. 

"Jemputlah duduk, Anna ambilkan air suam untuk Idah dulu. Suhaidah mengipas-ngipas wajahnya dengan tangan kanannya itu. Tidak lama kemudian, muncul Arianna dengan segelas air. "Nah, minumlah dulu Idah" Disorongkan gelas itu kepada Suhaidah. Entah berapa saat saja gelas itu sudah pun kosong. Suhaidah mengelap sisa-sisa air di sekitar bibirnya dengan hujung lengan baju kurungnya itu.

"Apa hajat tuan puteri datang berlari-lari ke rumah  patik yang jauh ni" tanya Arianna berjenaka. "Tuan puteri mana sanggup nak ke rumah kau ni Anna, jauh sangatlah. Ni hah..Siti Suhaidah je yang sanggup datang jenguk kau" balas Siti Suhaidah bangga. "Eh..Anna aku ada berita sensasilah, nak dengar tak?" tanya Siti Suhaidah sambil menatap wajah Arianna.

"Serius benar muka kau ni Idah. Sensasi yang macam mana pula tu?" tanya Arianna selamba. "Abang Lokman kau tu baru sampai tadi" jawab Siti Suhaidah cepat. "Idah dengar dari makcik Saleha. Semua penduduk di desa ni dah tahu pun. Tinggal kau dengan abang Leman je yang belum tahu barangkali" terang Suhaidah.

"Wah! Jadi sekarang kau dengan makcik Saleha tu, internet bergeraklah kat desa ni ye. Tahniah Anna ucapkan" Arianna mengusik sahabatnya itu, berita sensasi yang disampaikan oleh sahabatnya itu langsung tidak diendahkannya. Pap! Satu pukulan hinggap di paha Arianna menyebabkan dia mengaduh kesakitan.

"Kenapa ni Idah? Suka-suka kau ja ye nak pukul anak dara orang" Arianna mengusap-usap pahanya.

"Itulah kau, penat tau tak Idah lari ke sini semata-mata nak bagitau kau yang abang sepupu kau tu dah balik. Manalah tahu yang kau tu kepingin sangat nak jumpa dengan dia" balas Suhaidah mempertahankan dirinya. "Takkan sakit sangat kot, Idah minta maaf ye Anna" sambil bahunya dilaga-lagakan dengan bahu Arianna.

"Hi..hi tak sakit mana pun pukulan Idah tu, lembik dan tak bermaya langsung, semut pun tak matilah" Tidak habis-habis Arianna mengusik sahabatnya itu. "Kau kata apa tadi Anna? Lembik dan tak bermaya langsung? Nah, Idah bagi lagi paha sebelah tu sakit" seraya mengangkat tangannya untuk memukul paha  kanan Arianna pula. "Stop it!" jerit Arianna. Tergendala tindakan Suhaidah mendengar jeritan Arianna. "Hish..Idah ni panas baran tul lah. Cool downlah sayang oi..nanti tiada lelaki yang nak kat kau baru padan muka" sambung Arianna lagi.

"Okay tadi Idah cakap, abang Lokman dah balik kan? Okay Anna dengarlah. Makcik Saleha tak bagitau ke balik dengan siapa? Bakal isteri ke? Bakal bapa mertua ke?" tanya Arianna acuh tak acuh.

Suhaidah memetik jarinya. "Ya, baru Idah ingat, dia balik dengan seorang lelakilah. Dengar kata dari makcik Saleha, lelaki tu...lelaki tu"

"Hish...lelaki tu..lelaki tu, lelaki tu apa?" tanya Arianna tidak sabar.

"Lelaki tu macam Ariannalah" jawab Suhaidah tersengih-sengih mungkin sedar bahawa jawapannya itu kurang masuk akal.

"Hah?! Macam Anna? Maksud Idah..lelaki tu...lelaki tu.."

"Lelaki tu apa?" Kali ini giliran Suhaidah pula bertanya.

"Lelaki tu po..po..pon..dan?" Terburai tawa Suhaidah tatkala dia mendengar sahabatnya mengatakan bahawa lelaki itu pondan.

"Dah puas ketawa?" tanya Arianna pendek.

"Tak..belum puas lagi" balas Suhaidah sambil terhenjut-henjut bahunya menahan ketawa.

"Kalau Idah tak ada hal mustahak sangat, Anna nak ke bawah dululah" Lalu Arianna bingkas berdiri namun cepat-cepat Suhaidah menarik lengannya membuatkan Arianna terduduk semula.

"Hei makcik..Anna ni bukan orang senang macam kau. Kalau tak buat kerja maknanya periuk tu kosong, faham tak makcik" ujar Arianna lagi.

"Hish..duduk dululah kejap, kau takkan kebulur juga walaupun duduk sembang dengan aku. Lagipun kau kan ada abang Leman yang setia di sisi kau. Dia pasti tak bagi kau kebulur punya" balas Suhaidah sambil tersengih-sengih.

Arianna hanya mencebik mendengar omongan kosong sahabatnya itu. "Jadi kau tak nak jenguk abang sepupu kau tu ke Anna?" tanya Suhaidah memancing hati Arianna untuk bersembang semula.

"Tengoklah dulu, Idah. Lagipun takkan pelabuhan pulang ke kapal. Abang Lokman tu kan lelaki, sepatutnya dialah yang jenguk-jenguk Anna di sini. Lagipun cuba Idah tengok awan tu macam sarat dengan air hujan je Anna tengok" ujar Arianna sambil mendongak ke langit.

"Hish..kau ni tak sudah-sudah dengan alasan lagipun-lagipun. Kalau kau tak nak jenguk abang Lokman kau tu pun, sekurang-kurangnya kau jenguklah lelaki yang dia bawa balik tu.

"Hello...! Jenguk lelaki tu? Untuk apa pula? Tak naklah Anna, buang masa Anna je" Digeleng-geleng kepalanya perlahan.  

"Oloh..jomlah Anna, jomlah..Desa ni kan jarang ada tetamu, apa salahnya kita pergi, hari ni je.." pujuk Suhaidah sambil menarik-narik lengan Arianna.

"Hish..kau ni kan Idah, tak boleh tengok Anna senang sikitlah, mesti nak kacau" Arianna berdiri lalu memandang sahabatnya. "Hah, tunggu apa lagi, cepatlah makcik Suhaidah" Arianna segera menapak keluar dari rumahnya.

"Tunggulah Anna. Tadi kata tak nak pergi, tapi laju pula dia berjalan. Ni mesti kes nak tengok lelaki tu kan?" Suhaidah membuat tekaan.

"Apa-apa jelah makcik, janji kaki kau tu besarkan sikit langkahnya. Nanti Anna pula yang balik bersuluh." balas Arianna.

"Hei Anna..Idah nak ingatkan Anna sedia ye. Sampai kat rumah abang sepupu kau tu, jangan cuba-cuba nak malukan Idah faham?" ujar Suhaidah dengan nadanya yang serius.

"Malukan Idah? Nak malukan Idah macam mana pula tu?" tanya Arianna hairan.
"Yelah, sedap mulut Anna ja panggil Idah ni makcik, jatuhlah saham Idah depan lelaki tu nanti" terang Suhaidah tanpa berselindung.

"Tengok oranglah makcik oi..jangan-jangan Idah pula yang malukan Anna depan lelaki tu" balas Arianna tersenyum.

Akhirnya mereka tiba di tepi sungai. "Hish..ni yang Idah malas nak ke rumah kau ni Anna, tak habis-habis nak seberang sungai je kerja" Suhaidah merengus geram.


"Eleh..esok lusa kalau Idah kahwin dengan abang Leman, bukankah seberang-seberang sungai tu jadi rutin harian Idah nanti" usik Arianna pula.

Tersipu-sipu malu Suhaidah diusik oleh Arianna sedemikian rupa. Pipinya mulai berubah warna. "Malu-malu nampak? Jadi betullah tekaan Anna tu kan?" Disikunya lengan Suhaidah yang asyik menundukkan kepalanya sejak diusiknya sebentar tadi.

"Hish..pandai-pandai jelah Anna ni. Bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyilah Anna. Mesti guna dua belah tangan ni hah..baru ada bunyi" ujar Suhaidah sambil membuat demo bertepuk tangan di hadapan Arianna tanpa disedarinya benda yang dipegangnya itu terjatuh.

"Alamak selipar Idah hanyutlah, Anna tolonglah kejar" rayu Suhaidah seolah-olah selipar jepun itu berharga ratusan ringgit hingga membuatkan Suhaidah menitiskan air mata.

Tanpa membuang masa, Arianna mengejar selipar jepun milik sahabatnya itu yang sudah agak jauh dibawa arus. Dengan pantas Arianna menyambar selipar jepun itu dan tidak semena-mena dia terjelapuk jatuh akibat hilang keseimbangan badan.

Suhaidah yang sedang memerhatikan adegan tersebut segera berlari mendapatkan Arianna. "Astagfirullahal'azim, Anna..." jerit Suhaidah panik. Lantas dihulurkan tangannya untuk membantu Arianna bangun. Lalu Arianna lekas-lekas memaut tangan sahabatnya itu. Oleh kerana arus sungai agak deras di tempat Arianna terjatuh itu, maka Suhaidah pula yang hilang keseimbangan badan. Bup! bunyi seperti sebiji nangka jatuh. Kelihatan kedua-dua gadis itu berendam di dalam air. Mujurlah air sungai ketika itu hanya separas lutut saja dalamnya.

Arianna dan Suhaidah saling berpandangan. Masing-masing mengukir senyuman dan terburailah tawa mereka.
"Ni semua selipar jepun kau punya pasal lah Idah" sambil melemparkan selipar jepun itu ke arah Suhaidah.

"Yang kau sambar selipar Idah macam helang sambar ikan apa kes Anna..lucu pula Idah tengok tadi" balas Suhaidah.
"Lucu..lucu..tu jelah yang Idah tahu. Tadi siapa yang jerit Anna tolonglah kejar, bukan kau ke makcik?" bidas Arianna sambil meniru suara Suhaidah sebentar tadi.
"Eleh..baru tolong sikit pun nak kecoh sekampung" balas Suhaidah lagi.
"Hish..geramnya Anna dengan kau ni Idah. Bawa sini selipar kau tu, biar Anna hanyutkan betul-betul, biar padan kaki kau nanti berjalan pulang berkaki ayam" ugut Arianna.
"Okay..okay..Idah minta maaf banyak-banyak sebab pasal selipar Idah Anna terjatuh. Terima kasih banyak-banyak juga kerana selamatkan selipar Idah ni kalau tak mesti mak Idah bising-bising nanti" pujuk Suhaidah.

Kemudian mereka berdua berdiri perlahan-lahan. "Idah..takkan kita nak pergi rumah abang Lokman dengan keadaan macam ni, nanti apa pula kata makcik dan pakcik Anna nanti?" Dalam kotak fikiran Arianna ini adalah alasan terbaik untuk membatalkan sahaja rancangan Suhaidah sebentar tadi.

"Ish..ish..macamlah Idah tak boleh baca fikiran kau tu Anna. Nanti kita gantilah dekat rumah Idah. Jomlah tak payah banyak bunyi" Lalu mereka mengorak langkah perlahan-lahan. Saat itu mereka lebih berhati-hati menyeberangi sungai itu.

Setibanya mereka di rumah Suhaidah, rumah itu kelihatan lengang sekali. "Assalamualaikum mak" sapa Suhaidah. Namun tidak ada balasan. "Hish..mana mak dan abah Idah ni pergi" omel Suhaidah sambil mencari-cari mak dan abahnya di bilik tidur. "Tak ada pula kat sini" Suhaidah bercakap sendirian. " Jangan-jangan mak abah kau tu dah pergi rumah abang sepupu Anna" ujar Anna sekadar meneka menghilangkan perasaan bimbang di hati Suhaidah.

"Ye tak ye juga kan. Jomlah masuk bilik Idah" sambil ditariknya lengan Arianna. "Hah, Anna pakai yang ni , warna baju ni sesuai dengan warna kulit Anna" Lalu dihulurkannya sepasang baju kurung bewarna merah jambu yang sudah agak luntur warnanya. Arianna menyambut huluran itu tanpa sebarang bantahan.

"Idah pula pakai yang ni" seraya dia menunjukkan sepasang baju kurung bewarna ungu tua ke arah Arianna. "Amboi-amboi kita sekadar nak melawat jelah, tak payahlah bergaya sakan wahai Siti Suhaidah" perli Arianna. "Jomlah nanti Anna pula yang lewat balik" sambung Arianna lagi.
"Okay dah siap pun, jomlah" ujar Suhaidah riang.

Kelihatan dari jauh, serambi rumah pakcik Salleh sudah dipenuhi orang. Arianna mulai dipagut kebimbangan. Hish, ada apa pula ramai-ramai orang ni. Takkanlah ada sesuatu yang buruk berlaku, hatinya menduga. Namun cepat-cepat kepalanya digeleng-geleng.

"Mak..mak.." panggil Suhaidah separuh menjerit kerana ternampak kelibat maknya di bawah pohon mangga berdekatan dengan rumah pakcik Arianna.
Makcik Suhaila menoleh. "Lah..Idah dengan Anna pula, buat apa kamu ke sini ni Idah, Anna?" tanya makcik Suhaila hairan.
"Eleh mak ni, kami ni datang nak tengok tetamu khas abang Lokman tu je. Handsome tak lelaki tu mak?" tanya Suhaidah tidak sabar.
"Hish..anak bertuah ni. Tu je yang kau tahu ye Idah. Manalah mak tahu handsome ke tak handsome, mak dapat tengok dari jauh jelah" jelas makcik Suhaila.
Tersengih-sengih Arianna mendengar jawapan dari makcik Suhaila. "Kalau macam tu Idah nak naik tengoklah" ujar Suhaidah seraya menarik lengan Arianna.

"Tumpang lalu, tumpang lalu" ujar Suhaidah sambil menyelit di antara beberapa orang yang menghalang laluan pintu masuk utama itu. Pautan pada lengan Arianna tidak juga dilepaskannya. Manalah tahu nanti Arianna 'melepaskan diri' fikirnya. Kelihatan di ruang tamu itu sudah ramai gadis-gadis beserta mak-mak gadis duduk bersimpuh menyandar di dinding. Hanya segelintir sahaja kaum lelaki yang berada di dalam, yang lain ada di serambi dan juga di laman depan dan belakang rumah.

"Hish..Idah tak payahlah kita masuk, dah penuh dah ruang ni" bisik Arianna ke telinga Suhaidah. Namun Suhaidah hanya berdiam diri. Kehadiran mereka di situ tidak disedari oleh sesiapapun. Apa tidaknya, mata-mata yang ada di situ begitu khusyuk mencuci mata terutama mereka yang bergelar gadis! Mata-mata mereka semua tertumpu ke satu arah.

Arah itu adalah arah di mana seorang pemuda berpakaian T-Shirt lengan pendek bewarna hijau, serta berseluarkan seluar pendek paras lutut, sedang duduk di kerusi  tengah. Di betis kirinya seperti ada balutan kain putih dan terdapat sedikit tompok bewarna merah di tengah-tengah balutan itu. Cederakah orang itu, hati Arianna bertanya.

"Wah! Handsomenya dia Anna" jerit Suhaidah tanpa menyedari dia telah menyedarkan lamunan semua yang ada di situ. Perlahan-lahan ke semua yang berada di ruang tamu itu, menoleh ke arah mereka berdua. Menyedari bahawa semua mata-mata kini tertancap pada mereka berdua, lekas-lekas Suhaidah bersembunyi di belakang tubuh Arianna.

Arianna seperti sebuah patung yang berdiri tegak pada ketika itu. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Hendak dia keluar saja dari situ namun, kakinya terasa berat hendak melangkah. "Eh, Arianna bila kamu ke mari?. Abang tak sedarlah" Lokman bingkas bangun menuju ke arah Arianna. Lelaki T-Shirt hijau itu turut memandang Arianna. Arianna juga dengan tidak sengaja terpandang wajah lelaki itu. Kini mata-mata unik itu bertembung. Tidak sedar mereka kini jadi perhatian ramai.

"Ehem.." Norlelawati berdehem. Membuatkan lelaki itu dan Arianna cepat-cepat mengalihkan pandangan masing-masing. "Kau buat apa kat sini?!" soal Lela dengan nada marah dan kurang senang dengan kehadiran sepupunya itu.

"Anna...Anna saja-saja nak jenguk abang Lokman" balas Arianna perlahan sambil menundukkan kepalanya. Malu dijerkah sedemikian rupa.
"Hah, dah jenguk pun kan? Tunggu apa lagi, balik jelah" halau Lela tanpa menghiraukan perasaan Arianna.
"Memang kami dah nak balik ni pun" balas Suhaidah tiba-tiba muncul dari belakang Arianna lalu menarik lengan Arianna dan beredar dari situ. Suara Lokman yang memanggil-manggil nama Arianna sudah tidak dipedulikan lagi oleh Suhaidah.

"Idah minta maaf ye Anna. Tak sangka pula Idah dah malukan Anna tadi" sayu kedengaran suara Suhaidah. Mungkin dia turut rasa bersalah dengan apa yang telah terjadi sebentar tadi.
"Takpelah Idah. Bukan salah Idah pun" balas Arianna pendek.

Sepanjang perjalanan pulang menuju ke rumah Suhaidah, mereka masing-masing mendiamkan diri. Mungkin agak terkejut dengan insiden sebentar tadi itu.
"Kau tak nak naik dulukah Anna?" tanya Suhaidah setibanya mereka di laman rumahnya.
"Takpelah, lagipun Anna nak cepat ni takut tak nampak jalan tu pula" balas Arianna perlahan. "Nanti baju kau ni, Anna pulangkan esok atau lusa ye. Baju Anna kat atas tu, Idah tolong basuhkan dululah ye"  pinta Arianna. Suhaidah mengangguk.
"Pergi dulu Idah. Assalamulaikum" ujar Arianna lalu beredar meninggalkan Suhaidah.
Waalaikumusalam, jawabnya dalam hati.

"Siapa gadis tadi tu Lokman?" tanya lelaki T-Shirt hijau.
"Sepupu saya, Tuan" jawabnya pendek. "Kenapa Tuan?" tanyanya lagi.
"Kat mana dia tinggal?" tanya lelaki itu lagi.
"Tentang tu saya tak boleh bagi tau dekat Tuan mana dia tinggal" balas Lokman seperti ada nada amaran bunyinya.
"Kenapa pula?" tanya lelaki itu tidak putus asa.
"Ayah saya kata begitu, jadi saya ikut saja" jawab Lokman jujur.
Lelaki itu sekadar mengangguk-anggukkan kepalanya.
Namun dalam benak hatinya, dia nekad untuk mencari gadis bermata hazel itu.














   
    






No comments:

Post a Comment

Copyright© All Rights Reserved elrishacielo.blogspot.com